SELAMAT DATANG KE BLOG ILHAM PENDIDIK

Jumaat, 17 Februari 2012

Salam 2012

Alhamdulillah......
Saya masih lagi diberikan kekuatan dan kesihatan oleh Allah S.W.T dan dipanjangkan usia untuk meneruskan perjuangan sebagai pendidik. Selagi masih belum mencapai usia persaraan wajib insyaAllah segala kudrat dan kemampuan akan dimanfaatkan untuk mendidik anak bangsa menjadi insan berguna dan mulia.

25 feb ini ada permintaan untuk membuat sedikit pendedahan kepada rakan guru di sekolah mengenai pembangunan blog. Satu slot telah diberikan kepada saya untuk diisi dengan pendedahan tentang pembangunan blog dan bagaimana untuk digunakan sebagai satu cabang P&P.

Memang sebenarnya pembangunan blog amat menarik kerana ia dapat dikuasai dengan mudah berbanding dengan membangunkan sebuah laman web yang agak rumit. Meskipun blog bukanlah sehebat web dalam menyalurkan maklumat yang dikehendaki, sekurang-kurangnya ia dapat memberikan peluang kepada banyak pengguna tanpa perlu menguasai kemahiran yang tinggi.

Berpandukan kepada sedikit bimbingan dan template yang telah disediakan oleh pembangun seperti wordpress atau blogspot kita dapat memiliki sebuah halaman yang mampu dilayari oleh seluruh pelayar internet bukan hanya di Malaysia malah diserata dunia..

Meskipun begitu, kemunculan FaceBook, twitter dan yang seumpamanya seperti meminggirkan peranan blog di dalam dunia internet. Sebenarnya blog amat berbeza dengan Facebook atau twitter dari segi fungsi dan peranannya. Applikasi seperti Facebook dan twitter lebih merupakan applikasi yang mengutamakan perhubungan dan perkongsian maklumat yang ringkas seperti pebualan, pengumuman atau yang sepertinya. Sebaliknya blog pula merupakan satu catatan peribadi yang dikongsi bersama mereka yang tertentu.

Penggunaan blog lebih bersifat peribadi sekiranya kita mahukan ianya sedemikian tetapi bagi facebook atau twitter ianya lebih bersifat umum atau terbuka. Hanya pengguna yang tertentu dapat memasuki dan memberikan komen terhadap paparan kita. Selain itu, blog juga dapat memberikan kebebasan kepada kita untuk merekabentuk menurut citarasa kita sendiri.

Sesungguhnya, setiap kemajuan yang dicipta jika digunakan dengan sebaik-baiknya, tak kira bentuk dan fungsinya, ia akan memberikan hasil yang baik untuk penggunanya. Oleh itu, apa yang diharapkan melalui pendedahan yang saya berikan akan memberikan sedikit manfaat untuk rakan guru dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mendidik anak bangsa kita. Hanya yang termampu sahaja dapat saya berikan dan semoga perkongsian ini mendapat redha Ilahi......Amin